Banyak cara untuk kita berjasa kepada orang yang kita sayangi. Kalau kita hendak menjadi anak yang berjasa kepada ibu bapa, kita bila-bila masa boleh menawarkan tenaga. Jika ibu bapa kita minta bantuan kita untuk membersih dan mengemas rumah, kita boleh tolong. Jika ibu bapa kita letih dan sakit, kita boleh saja memicit dan merawat. Jika kita berwang, boleh saja tiap-tiap bulan kita menghulurkan wang kepada mereka. Jika ibu bapa kita telah tua, lagi banyak peluang untuk kita berjasa kepada mereka. Kita boleh mengajak mereka tinggal di rumah kita, kita boleh hiburkan hati mereka dengan mengajak mereka bersiar-siar dan membeli barang keperluan mereka. Kita boleh berjasa kepada mereka, bukan setahun sekali malah setiap hari. Begitulah hakikat berjasa kepada manusia secara umumnya.
Tetapi kepada Allah, apakah peluang dan bagaimanakah cara kita dapat berjasa kepada-Nya? Allah berlawanan dengan sifat manusia. Allah tidak akan rasa letih dan sakit seperti mana manusia merasainya. Allah tidak memerlukan pakaian dan makanan seperti mana manusia memerlukannya. Malah Allah tidak memerlukan manusia seperti mana manusia memerlukan Allah. Lantas, peluang untuk kita menjadi hamba Allah yang berjasa sangat terhad. Sangat terhad.
Kita ada satu ruang dan peluang sahaja untuk menjadi hamba Allah yang berjasa. Ruang dan peluang itu ialah MENOLONG AGAMA-NYA. Inilah satu-satunya peluang dan ruang yang terhampar di depan kita. Kalau kita berlalu tanpa mengutip peluang ini, maka tiadalah kita menemuinya lagi di sepanjang perjalanan hidup kita.Dua langkah yang boleh kita ambil untuk menolong agama Allah ialah:-
1. Menjadi DA’I - Da’i atau pendakwah yang berperanan dalam menyebarkan agama Allah kepada dua pihak iaitu kepada orang yang belum beragama Islam dan kepada orang yang sudah beragama Islam. Kita boleh menerangkan tentang kebenaran, kebaikan dan kesyumulan Islam kepada kaum Cina, India dan sebagainya melalui lisan dan tulisan. Kita juga sewajarnya berdakwah di kalangan umat Islam sendiri agar umat Islam lebih mengenali agama mereka, beriman dan beramal dengan ajaran al-Quran dan al-Hadis yang mencakupi segala skop kehidupan.
2. Menjadi JUNDULLAH - Jundullah ialah tentera Allah yang berjuang di medan jihad sama ada jihad itu menuntut pengorbanan nyawa atau menuntut pengorbanan tenaga, masa dan harta benda. Kita boleh menjadi jundullah dalam menegakkan hukum Allah, syariat-Nya dan berjuang dalam menjadikan hukum dan syariat itu berdaulat, ’memerintah bukan diperintah’.Dalam kedua-dua langkah itu, kita tidak akan ditanya tentang berapa orangkah sudah berjaya engkau Islamkan atau sudah menangkah engkau dalam menegakkan Islam. Berjaya dan menang adalah hak dan ketentuan Allah. Yang penting adalah kita berperanan secara istiqamah tanpa mengenal putus asa. Kerja kita hanya tamat apabila berlangsungnya nafas terakhir kita. Kerja Islam adalah kerja tanpa musim.
Demikianlah dua langkah yang perlu diambil sekiranya kita ingin BERJASA KEPADA ALLAH. Ingat, seorang ’abid (ahli ibadat) belum tentu menjadi hamba yang berjasa kepada Allah. Akhirnya, pilihan sudah ada di depan kita; sama ada kita ingin menjadi HAMBA ALLAH YANG BERJASA atau HAMBA ALLAH YANG TIDAK BERJASA.
No comments:
Post a Comment